WASHINGTON, 9 Disember – Presiden Donald Trump mengumumkan pakej bantuan bernilai AS$12 bilion kepada petani di Amerika Syarikat, sebagai usaha menyokong industri yang terjejas teruk oleh perang perdagangan.
Menurut seorang pegawai, daripada jumlah tersebut AS$11 bilion diperuntukkan bagi program baharu Farmer Bridge Assistance kepada petani yang mengusahakan tanaman ladang, manakala baki AS$1 bilion diperuntukkan bagi tanaman lain.
Kumpulan yang mewakili petani dan ahli politik daripada Parti Republikan telah meminta bantuan tersebut, sebahagiannya untuk menyokong petani dalam pembelian benih, baja dan perbelanjaan lain untuk musim penanaman tahun hadapan.
Para petani Amerika kehilangan berbilion dolar daripada penjualan kacang soya ke China apabila negara itu berpaling kepada pembekal di Amerika Selatan pada musim luruh ini semasa rundingan perdagangan tergendala.
Institut Penyelidikan Dasar Makanan dan Pertanian Universiti Missouri menjangkakan pendapatan bersih hasil pertanian merosot lebih AS$30 bilion pada tahun depan, ekoran pengurangan pembayaran daripada kerajaan dan harga hasil tuaian yang rendah.
Petani dijangka menerima hampir AS$40 bilion pembayaran kerajaan pada tahun ini yang dipacu oleh bantuan bencana dan ekonomi sementara.
Semasa penggal pertama pemerintahannya, Trump memberikan bantuan kira-kira AS$23 bilion kepada petani yang terjejas oleh dasar perdagangannya. -REUTERS

