Trump ugut kenakan tarif 5% terhadap Mexico susulan tuntutan air tidak dipenuhi

WASHINGTON, 9 Disember -Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengancam mengenakan tambahan tarif 5% terhadap Mexico selepas mendakwa negara itu gagal mematuhi perjanjian perkongsian air dua hala.

Menurut Trump, Mexico masih berhutang lebih 800,000 ekar-kaki air kepada AS dalam tempoh lima tahun lalu bawah perjanjian berkenaan.

Dalam kenyataan di Truth Social, beliau berkata, Mexico perlu melepaskan 200,000 ekar-kaki air sebelum 31 Disember, selebihnya perlu dihantar selepas itu.

“Kegagalan Mexico berbuat demikian menjejaskan tanaman dan ternakan di Texas yang bergantung kepada bekalan air dari Sungai Conchos dan Empangan La Boquilla,” katanya.

Trump menegaskan, dokumen pelaksanaan tarif 5% sudah disediakan dan tindakan itu akan diambil sekiranya Mexico tidak melepaskan air dengan segera.

Mexico sehingga kini belum memberikan maklum balas rasmi terhadap tuntutan tersebut. -REUTERS