WASHINGTON, 17 Disember – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengarahkan sekatan penuh, terhadap kapal tangki minyak yang telah disenaraihitamkan ketika keluar dan masuk Venezuela.
Menerusi satu kenyataan di platform Truth Social, Trump menegaskan tindakan itu diambil atas dakwaan kecurian aset serta penglibatan rejim Venezuela dalam kegiatan keganasan, penyeludupan dadah dan pemerdagangan manusia.
“Oleh kerana kecurian aset kami dan pelbagai sebab lain, termasuk keganasan, penyeludupan dadah dan pemerdagangan manusia, rejim Venezuela telah ditetapkan sebagai Organisasi Pengganas Asing.
“Oleh itu, hari ini saya mengarahkan sekatan menyeluruh terhadap semua kapal tangki minyak yang dikenakan sekatan keluar dan masuk ke Venezuela,” kata Trump.
Kenyataan tersebut dibuat seminggu selepas AS merampas sebuah kapal tangki minyak yang dikenakan sekatan di perairan berhampiran Venezuela, langkah terbaharu dalam kempen tekanan Washington terhadap kerajaan Presiden Venezuela, Nicolás Maduro.
Trump sebelum ini menuduh pentadbiran Maduro bertanggungjawab terhadap kemasukan dadah ke AS.
Buat masa ini, Kementerian Komunikasi Venezuela, yang mengendalikan semua permintaan media bagi pihak kerajaan, belum memberikan sebarang maklum balas berkaitan perkara itu.
Terdahulu Maduro, dalam ucapanya pada Selasa malam, mendakwa AS cuba menjajah Venezuela demi menguasai sumber kekayaannya.
“Imperialisme dan golongan kanan fasis mahu menjajah Venezuela untuk merampas kekayaan minyak, gas dan emas kami.
“Kami telah bersumpah untuk mempertahankan tanah air, dan keamanan akan menang di Venezuela,” katanya.-REUTERS

