SYDNEY, 16 Disember – Dua lelaki bersenjata yang didakwa menyerang sebuah acara Hanukkah di Bondi, Sydney, dilaporkan pernah melancong ke Filipina dan dipercayai didorong oleh kumpulan militan Islamic State (IS), menurut polis pada Selasa.
Serangan yang berlaku pada Ahad itu merupakan insiden tembakan beramai-ramai paling buruk di Australia dalam hampir 30 tahun, dan kini disiasat sebagai tindakan keganasan yang menyasarkan komuniti Yahudi.
Jumlah korban kini meningkat kepada 16 orang, termasuk salah seorang penyerang yang ditembak mati oleh polis. Polis mengenal pasti lelaki tersebut sebagai Sajid Akram, 50 tahun.
Manakala anak lelakinya, Naveed Akram, 24 tahun, dipercayai turut bersubahat dan kini berada dalam keadaan kritikal di hospital selepas turut ditembak.
Polis Persekutuan Australia memaklumkan bahawa kedua-dua suspek telah mengunjungi Filipina bulan lalu, dan tujuan perjalanan itu masih dalam siasatan. Polis Filipina turut mengesahkan bahawa mereka sedang menyiasat perkara tersebut.
“Petunjuk awal menunjukkan serangan ini adalah satu tindakan keganasan yang didorong oleh IS, didakwa dilakukan oleh seorang bapa dan anak,” kata Pesuruhjaya Polis Persekutuan Australia, Krissy Barrett, dalam satu sidang media.
Polis turut memaklumkan bahawa sebuah kenderaan yang didaftarkan atas nama suspek lebih muda mengandungi alat letupan buatan sendiri (IED) serta dua bendera buatan tangan yang dikaitkan dengan kumpulan IS.-REUTERS

