BANGKOK, 9 Disember -Thailand menggantung pelaksanaan perjanjian damai dengan Kemboja selepas dua anggota tenteranya cedera akibat letupan periuk api berhampiran sempadan di Sisaket.
Tentera Diraja Thailand memaklumkan, seorang anggota mengalami kecederaan parah pada kaki, manakala seorang lagi mengalami sesak nafas akibat tekanan letupan.
Jurucakap kerajaan, Siripong Angkasakulkiat berkata, Bangkok menghentikan “tindakan susulan terhadap deklarasi bersama”.
Ia merujuk kepada perjanjian yang ditandatangani di Kuala Lumpur pada akhir Oktober lalu.
Perjanjian tersebut merupakan sebahagian pelaksanaan gencatan senjata yang dipersetujui selepas pertempuran pada Julai.
Insiden berkenaan mengorbankan sekurang-kurangnya 43 orang dan lebih 300,000 penduduk di kedua-dua negara dipindahkan .
Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul berkata, mereka menyangka ancaman keselamatan telah reda tetapi insiden terbaharu menunjukkan sebaliknya.
Kemboja melalui kementerian luar negerinya menyatakan “kebimbangan serius” terhadap keputusan Thailand, namun menegaskan Phnom Penh kekal komited melaksanakan deklarasi bersama itu.
Kemboja turut menolak sekali lagi dakwaan bahawa tenteranya menanam periuk api baharu di kawasan pertikaian.
Kedua-dua negara mempunyai sengketa sempadan berlarutan lebih satu abad, namun pertempuran Julai lalu tercetus selepas Thailand menuduh Kemboja memasang periuk api yang mencederakan anggota tenteranya.
Thailand dan Kemboja mencapai gencatan senjata pada akhir Julai dengan campur tangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, diplomat China dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN.
Deklarasi bersama tersebut memperincikan usaha pembersihan periuk api di sepanjang sempadan, penarikan balik senjata berat dan akses kepada pasukan pemantau ASEAN.
Kemboja sebelum ini memaklumkan penarikan keluar senjata berat dari kawasan sempadan.
Walaupun gencatan umumnya bertahan sejak 29 Julai, kedua-dua negara saling menuduh berlakunya pelanggaran.
Penganalisis berpendapat, penyelesaian menyeluruh terhadap pertikaian wilayah itu masih jauh. -AFP

