SYDNEY, 15 Disember – Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese mencadangkan undang-undang senjata yang lebih ketat pada Isnin selepas dua penembak membunuh lebih 12 orang dalam insiden tembakan rambang di Sydney.
Albanese turut mencadangkan langkah termasuk mengehadkan bilangan senjata api yang boleh dimiliki oleh setiap individu.
“Kerajaan bersedia mengambil sebarang tindakan yang perlu, termasuk keperluan untuk undang-undang senjata lebih ketat.
“Orang boleh terpengaruh dengan ideologi ekstremis dalam jangka masa tertentu. Lesen tidak sepatutnya diberikan secara kekal,” katanya kepada pemberita di sini.
Albanese berkata beliau akan membentangkan cadangan reformasi tersebut dalam satu mesyuarat bersama ketua menteri negeri pada petang Isnin.
Terdahulu, suspek seorang bapa dan anak, melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang berkumpul di pantai bagi menyambut hari pertama perayaan Yahudi, Hanukkah.
Polis mengesahkan bahawa bapa berusia 50 tahun itu mempunyai lesen untuk memiliki enam senjata api, yang dipercayai digunakan dalam tembakan itu.
Insiden tembakan rambang jarang berlaku di Australia sejak seorang penembak tunggal membunuh 35 orang di bandar pelancongan Port Arthur pada 1996.
Peristiwa yang dikenali sebagai “Pembunuhan Port Arthur” itu membawa kepada reformasi besar termasuk skim pembelian balik senjata, daftar senjata api nasional dan pengawalan ketat terhadap pemilikan senjata separa automatik. -AFP
ARTIKEL BERKAITAN:

