SAO PAULO, 12 Disember – Kira-kira 1.5 juta rumah dan perniagaan terputus bekalan elektrik selepas Taufan Extratropical melanda Sao Paulo, Brazil, pada Khamis.
Menurut Syarikat utiliti Enel, angin kencang sehingga 98 kilometer sejam (km/j) melanda kawasan itu selama 12 jam pada Rabu, dengan kesan yang berlarutan sehingga Khamis di bandar berpenduduk 11.5 juta orang serta kawasan sekitarnya.
“Pada kemuncak ribut, lebih 2 juta akaun pemilik terputus bekalan elektrik, namun bekalan berjaya dipulihkan kepada 500,000 pelanggan pada awal Khamis,” jelas Enel.
Sebelum ini, ribut kuat pada 2023 dan 2024 turut menyebabkan gangguan besar dan meletakkan Enel di bawah perhatian awam. Agensi Kawal Selia Elektrik Brazil, ANEEL menuntut penjelasan terperinci mengenai gangguan kali ini.
Sementara itu, syarikat air Sabesp memberi amaran bahawa gangguan elektrik telah menjejaskan Infrastrukturnya dan memberi kesan kepada kawasan kediaman di seluruh bandar.
Turut terjejas, sektor penerbangan. Lapangan Terbang Congonhas, yang mengendalikan penerbangan domestik, terpaksa membatalkan 31 ketibaan dan 15 keberangkatan pada Khamis selepas membatalkan 181 penerbangan pada Rabu.
Di Lapangan Terbang Antarabangsa Guarulhos pula, 61 ketibaan dan 56 keberangkatan dibatalkan sejak Rabu, namun operasi kembali normal pada awal Khamis.-REUTERS

