PORT SUDAN, 16 Disember – Ketua ‘de facto’ Sudan, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan kini bersedia untuk bekerjasama dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bagi menghentikan peperangan yang melanda negara tersebut.
Menurut Kementerian Luar Sudan, keputusan itu diambil selepas ketua-ketua angkatan tentera Sudan melawat Riyad atas undangan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman.
Dalam pertemuan itu, Mohammed bin Salman mengemukakan pelan damai di Sudan, yang akan dicadangkan kepada Trump.
Abdel Fattah turut memuji ‘keazaman’ Trump untuk terlibat dalam usaha mencapai keamanan dan menamatkan perang di Khartoum
Usaha mencapai gencatan senjata di peringkat antarabangsa yang diketuai pengantara dari Amerika Syarikat, Mesir, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu terhenti susulan Abdel Fattah menolak rangka kerja yang dicadangkan.
Jeneral tersebut menuduh pihak pengantara bersifat memihak, terutama menerima pakai syarat yang dikemuka UAE, yang dituduh mempersenjatai dan menyokong Pasukan Sokongan Pantas (RSF).
UAE kerap menafikan menghantar senjata, bahan api dan anggota ke RSF, walaupun terdapat bukti daripada siasatan bebas dan laporan antarabangsa.
RSF dalam pada itu menyokong pelan gencatan senjata antarabangsa, bagaimanapun pertempuran sengit masih berterusan, terutama di selatan Kordofan.
Buat masa ini, tiada tarikh baharu diumumkan untuk rundingan gencatan senjata, sama ada di bawah pengantara yang diketuai Washington, mahupun usaha olehPertubuhan Bangsa Bersatu.-AFP

