BADULLA, 7 Disember – Operasi bantuan di Sri Lanka terus dipertingkat selepas negara itu dilanda Taufan Ditwah, dengan bantuan antarabangsa mula tiba bagi meringankan kesan bencana yang mengorbankan ratusan nyawa.
Sebuah helikopter tentera udara Sri Lanka menghantar bekalan bantuan ke sebuah kampung di Badulla yang terputus hubungan akibat tanah runtuh, pada Sabtu.
Rakaman kerajaan Sri Lanka turut menunjukkan pesawat Edelweiss Air mendarat di Colombo membawa bekalan bantuan kemanusiaan.
Selain itu, anggota tentera dilihat memunggah komponen jambatan mudah alih yang dihantar melalui pesawat Tentera Udara India di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike.
Menurut laporan situasi terbaharu Pusat Pengurusan Bencana Sri Lanka pada Ahad, sebanyak 627 orang disahkan terkorban, manakala 190 lagi masih hilang selepas taufan itu menyebabkan banjir besar, tanah runtuh dan kerosakan meluas di beberapa wilayah.
Bantuan dari luar negara dijangka terus tiba dalam beberapa hari mendatang ketika Sri Lanka berusaha memulihkan kawasan terjejas dan menyediakan keperluan asas kepada penduduk terjejas. -REUTERS

