SYDNEY, 12 Disember -Seorang penerjun udara berdepan detik cemas apabila payung terjunnya tersangkut pada ekor pesawat ketika latihan lompatan.
Insiden itu berlaku pada September lalu di kawasan selatan Cairns.
Bagaimanapun, ia hanya diumumkan selepas siasatan selesai oleh Australian Transport Safety Bureau (ATSB).
Menurut ATSB, pasukan penerjun sedang melakukan formasi 16 orang pada ketinggian 15,000 kaki.
Kejadian berlaku sebaik peserta pertama tiba di pintu keluar pesawat.
Rakaman menunjukkan pemegang payung simpanan penerjun tersangkut pada ‘wing flap’, sehingga mengaktifkan payung simpanan secara tidak sengaja.
Daya tarikan menyebabkan penerjun tercampak ke belakang, sebelum payung simpanannya melilit ekor pesawat membuatkannya tergantung di udara.
Penerjun tersebut kemudian menggunakan pisau untuk memotong tali payung simpanan bagi membebaskan diri sebelum membuka payung utama dan mendarat dengan selamat.
ATSB memaklumkan, bahagian ekor pesawat mengalami kerosakan dan juruterbang hanya mempunyai kawalan terhad sebelum mengeluarkan panggilan kecemasan.
Namun, juruterbang berjaya mendaratkan pesawat dengan selamat. -AFP

