Sidang Kemuncak G20: Pemimpin dunia tiba di Afrika Selatan

JOHANNESBURG, 22 November – Pemimpin-pemimpin dunia tiba di Afrika Selatan pada Sabtu untuk menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20).

Antara yang hadir termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Perdana Menteri Mesir, Mostafa Madbouly; yang disambut oleh Timbalan Presiden Afrika Selatan, Paul Mashatile.

Wakil-wakil G20 telah bersetuju terhadap draf deklarasi pemimpin menjelang sidang kemuncak hujung minggu di Johannesburg, dengan beberapa agenda utama menumpukan kepada isu perubahan iklim.

Menurut sumber, draf tersebut disediakan tanpa mendapatkan konsensus daripada Amerika Syarikat (AS).

Salah seorang sumber mengesahkan pada Jumaat bahawa draf deklarasi itu merujuk kepada isu perubahan iklim, mendapat bantahan daripada pentadbiran Presiden AS Donald Trump, yang meragui konsensus saintifik bahawa pemanasan global berpunca daripada aktiviti manusia. -REUTERS