GAZA, 23 November – Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh manakala lebih 80 lagi cedera dalam serangan udara Israel di Gaza pada Sabtu, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Serangan pertama menjejaskan sebuah kereta di kawasan penduduk yang padat di Rimal, diikuti dua serangan udara ke atas rumah di Deir Al-Balah dan kem Nuseirat yang mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang.
Beberapa serangan lain turut dilaporkan berlaku di barat Bandar Gaza membunuh lima lagi rakyat Palestin.
Tentera Israel berkata serangan itu sebagai tindak balas selepas seorang penembak dipercayai memasuki kawasan mereka melalui laluan kemanusiaan.
Hamas menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai alasan untuk membunuh dan menegaskan komitmen terhadap gencatan senjata.
Israel dan Hamas sebelum ini berulang kali menuduh satu sama lain melanggar perjanjian gencatan senjata yang dimeterai lebih enam minggu lalu. -REUTERS

