Senat Mexico lulus kenaikan tarif import sehingga 50%

MEXICO CITY, 12 Disember -Senat Mexico meluluskan kenaikan tarif import sehingga 50 peratus ke atas barangan dari China dan beberapa negara Asia lain bermula 2026.

Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum berkata, ia antara usaha bagi melindungi industri tempatan dan pekerjaan.

“Langkah itu merangkumi tarif baharu atau lebih tinggi bagi kenderaan, alat ganti, tekstil, pakaian, plastik, keluli dan beberapa barangan lain dari negara yang tidak mempunyai perjanjian perdagangan dengan Mexico.

Kebanyakan produk akan dikenakan tarif sehingga 35 peratus,” katanya.

Beliau turut menegaskan, kenaikan tarif itu bukan ditujukan kepada China.

“Ini bukan langkah terhadap China. Ia hanya terpakai kepada negara yang tidak mempunyai perjanjian perdagangan dengan Mexico.

Strateginya ialah meningkatkan pengeluaran dalam negara,” katanya.

Tambah Sheinbaum, kerajaan Mexico telah berhubung dengan China dan Korea Selatan bagi menjelaskan rasional dasar tersebut.

Sementara itu, Menteri Ekonomi, Marcelo Ebrard berkata, tarif itu perlu bagi melindungi sektor tertentu daripada persaingan harga yang sangat rendah.

“Industri automotif, tekstil, perabot dan permainan menghadapi persaingan harga yang terlalu rendah.

Tanpa langkah ini, dianggarkan 350,000 pekerjaan akan berisiko dalam tempoh setahun,” katanya.

Pemerhati ekonomi berpandangan langkah berkenaan juga bertujuan meredakan kebimbangan Amerika Syarikat menjelang semakan Perjanjian Amerika Syarikat–Mexico–Kanada (USMCA), selain menambah hasil fiskal negara.

Namun, kementerian perdagangan China menyifatkan kenaikan tarif itu sebagai tindakan perlindungan unilateral yang boleh menjejaskan kepentingan perdagangan kedua-dua negara. -REUTERS