BERLIN, 16 Disember – Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, berkata rundingan di Berlin bersama pemimpin Eropah dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, menunjukkan kemajuan sebenar dan konkrit ke arah menamatkan perang di Ukraine.
Beliau turut menegaskan bahawa penyelarasan antara Kyiv, Washington dan Eropah adalah kunci kepada keamanan berkekalan.
Von der Leyen berkata, matlamat bersama adalah untuk mencapai keamanan yang adil dan berkekalan yang mengekalkan kedaulatan Ukraine serta memperkukuh keselamatannya.
Beliau menekankan bahawa langkah pertama ke arah keamanan ialah gencatan senjata yang berkekalan, dan Rusia perlu terus dikenakan tekanan supaya benar-benar bersedia ke meja rundingan.
“Eropah akan terus meningkatkan kos perang Rusia. Satu pakej sekatan baharu sedang disediakan, dan aset Rusia di Kesatuan Eropah telah dibekukan untuk jangka panjang,” katanya.
Von der Leyen turut menegaskan bahawa keamanan memerlukan jaminan keselamatan yang kukuh dan boleh dipercayai, sambil mengalu-alukan pertimbangan positif Amerika Syarikat untuk meneruskan sokongan ketenteraan kepada Ukraine, selari dengan usaha Eropah memperkukuh angkatan bersenjata Ukraine bagi mempertahankan wilayahnya dan mencegah serangan pada masa hadapan.
Beliau memberitahu antara jaminan keselamatan jangka panjang paling jelas ialah laluan Ukraine untuk menyertai Kesatuan Eropah, selain menegaskan bahawa keputusan berkaitan wilayah adalah hak mutlak Ukraine.
“Tiada apa-apa mengenai Ukraine tanpa Ukraine. Tiada apa-apa mengenai Kesatuan Eropah tanpa Kesatuan Eropah. Dan tiada apa-apa mengenai NATO tanpa NATO,” katanya.
Von der Leyen turut memaklumkan bahawa Suruhanjaya Eropah mencadangkan untuk menampung kira-kira dua pertiga keperluan pembiayaan Ukraine bagi tempoh dua tahun akan datang, berjumlah sekitar €90 bilion, dengan perbincangan lanjut dijangka menjadi tumpuan utama dalam mesyuarat Majlis Eropah minggu ini.
“Kami mungkin tidak akan mampu menandingi pengorbanan rakyat Ukraine, namun kami akan terus menyokong perjuangan mereka untuk kelangsungan hidup, wilayah dan hak untuk hidup bebas daripada ketakutan,” tambahnya.
Kenyataan itu dibuat ketika pemimpin Eropah berusaha menyokong rundingan damai antara perunding Amerika Syarikat dan Ukraine bagi menamatkan konflik paling berdarah di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.
Ukraine kini berada di bawah tekanan kuat pentadbiran Presiden Donald Trump untuk membuat konsesi kepada Rusia.-REUTERS

