CALIFORNIA, 8 Disember -Rundingan untuk menamatkan perang Ukraine dilapor berada pada fasa akhir dengan hanya beberapa isu besar masih berbaki sebelum persetujuan dicapai.
Menurut Utusan Khas Amerika Syarikat (AS) ke Ukraine, Keith Kellogg, proses itu kini berada pada “10 meter terakhir”, namun masih bergantung kepada dua perkara utama.
Jelas beliau ia melibatkan status wilayah Donbas dan masa depan Loji Nuklear Zaporizhzhia yang kini dikuasai Rusia.
“Kalau dua isu ini dapat diselesaikan, selebihnya dijangka berjalan baik. Kita hampir sampai,” katanya pada Forum Pertahanan Kebangsaan Reagan, di sini.
Kellogg, yang bakal menamatkan tugas pada Januari depan, turut menyifatkan perang itu sebagai antara konflik serantau paling dahsyat, dengan lebih dua juta korban dan kecederaan di kedua-dua pihak sejak 2022.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan, pendirian Rusia dilihat lebih tegas.
Penasihat dasar luar Presiden Vladimir Putin, Yuri Ushakov, dipetik sebagai berkata, AS perlu membuat “perubahan radikal” terhadap cadangan semasa sebelum rundingan boleh bergerak ke hadapan.
Beliau tidak menjelaskan secara terperinci pindaan yang diminta Moscow.
Kenyataan itu dibuat susulan pertemuan empat jam di Kremlin minggu lalu antara Putin, utusan khas Presiden Donald Trump, Steve Witkoff, serta menantu Trump, Jared Kushner.
Trump sebelum ini menyatakan usaha menamatkan perang Ukraine adalah sasaran dasar luar paling sukar dalam pentadbirannya dan mahu dikenang sebagai “presiden pendamai”. -REUTERS

