Ribuan rakyat Romania bantah penyalahgunaan sistem kehakiman

BUCHAREST, 15 Disember – Ribuan rakyat Romania mengambil bahagian dalam perarakan di Bucharest dan beberapa bandar lain pada Ahad bagi menyokong hakim dan pendakwa raya yang mengutuk penyalahgunaan sistem kehakiman secara sistemik.

Kira-kira 700 hakim dan pendakwa raya menandatangani surat terbuka di media sosial yang menyatakan wujudnya ‘kekacauan sistemik yang mendalam’ dalam sistem kehakiman negara itu.

Presiden Romania, Nicusor Dan mengumumkan bahawa beliau akan mengadakan perbincangan dengan ahli kehakiman pada 22 Disember, sambil menegaskan bahawa apabila ramai pegawai kehakiman mengadu mengenai masalah integriti dalam sistem kehakiman, perkara itu adalah serius.

Surat terbuka itu muncul selepas saluran media bebas, Recorder menyiarkan dokumentari yang mendakwa hakim-hakim kanan, yang disokong politik, menggunakan jurang undang-undang untuk amalan tidak beretika, termasuk pembebasan yang diragui dan mereka yang mengadu sering menghadapi tindakan tatatertib.

Pihak pengawas kehakiman Romania pula menafikan dakwaan itu, menyifatkan dokumentari tersebut sebagai usaha menggugat kestabilan sistem kehakiman.

Sekitar 10,000 orang berkumpul di Bucharest pada lewat Ahad, melaungkan slogan seperti “Keadilan, bukan rasuah”, “Kami memerhati”, dan “Bebas, bukan patuh” manakala ribuan lagi berhimpun di bandar-bandar lain di seluruh Romania.

“Pada masa ini, kesan paling nyata ialah kepercayaan terhadap sistem kehakiman Romania hampir tiada, disertai rasa putus asa bahawa sesuatu masih boleh dilakukan,” kata Liviu, seorang ahli fizik berusia 28 tahun. -REUTERS