Negara Arab dan Islam bantah rancangan Israel buka lintasan Rafah secara sehala

GAZA, 6 Disember – Menteri Luar negara Arab dan Islam menyuarakan kebimbangan terhadap kenyataan terbaru Israel yang mencadangkan agar lintasan Rafah dibuka secara sehala bagi tujuan memindahkan penduduk Palestin ke Mesir.

Menteri Luar Mesir, Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia, Pakistan, Turki, Arab Saudi dan Qatar dalam satu kenyataan bersama turut menolak sebarang percubaan untuk memindahkan rakyat Palestin secara paksa.

Mereka turut menyeru agar pelan yang dicadangkan oleh Presiden AS, Donald Trump, dipatuhi. Selain menegaskan pelan itu memerlukan lintasan Rafah dibuka dua hala bagi memastikan kebebasan pergerakan penduduk Gaza.

Kenyataan itu menegaskan bahawa pelan tersebut bertujuan membolehkan rakyat Palestin kekal di tanah mereka dan menyertai usaha membangunkan semula Gaza, sambil memulihkan kestabilan dan kemanusiaan.

Mereka juga menyoroti keperluan mewujudkan syarat bagi Pihak Berkuasa Palestin untuk menyambung semula tanggungjawabnya di Gaza, sekali gus membuka jalan bagi keselamatan dan kestabilan yang lebih besar.

Israel mengumumkan pada Rabu bahawa ia akan membuka semula lintasan itu dalam beberapa hari akan datang di bawah perjanjian gencatan senjata Oktober dengan Hamas, tetapi menyatakan ia hanya akan beroperasi satu arah sahaja.

Rancangan tersebut akan menyebabkan rakyat Palestin meninggalkan Gaza selama-lamanya.

Kerajaan Mesir menafikan sebarang koordinasi dengan Israel mengenai pembukaan semula lintasan tersebut.

Kebanyakan lintasan ditutup sejak Mei 2024, apabila pasukan Israel mengambil alih kawalan pihak Palestin. Sebelum itu, ia merupakan laluan keluar utama bagi rakyat Palestin dan pintu masuk penting bagi bantuan kemanusiaan. – REUTERS