NEW DELHI, 5 Disember – Presiden Rusia, Vladimir Putin mempertikai tindakan Amerika Syarikat (AS) menekan India supaya tidak membeli minyak Rusia, dengan menyatakan sekiranya AS sendiri boleh membeli bahan api Rusia, mengapa India tidak boleh berbuat demikian.
Putin membuat kenyataan itu dalam wawancara bersama penyiar India, India Today, semasa beliau memulakan lawatan rasmi dua hari ke India.
Lawatan itu bertujuan meningkatkan perdagangan bersama, termasuk jualan minyak, sistem misil, jet pejuang, serta memperluas hubungan perniagaan selain sektor tenaga dan pertahanan.
Beliau berkata, “AS sendiri masih membeli bahan api nuklear daripada kami. Jika AS mempunyai hak, mengapa India tidak boleh mempunyai hak yang sama?” Putin menambah bahawa isu itu wajar dikaji dan dibincangkan termasuk dengan Presiden AS, Donald Trump.
India menyifatkan cukai balas AS sebagai tidak wajar dan menekankan bahawa perdagangan AS dengan Rusia masih berterusan, termasuk import gas asli dan uranium.
Putin berharap pelanggaran peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dapat diperbetulkan pada akhirnya.
India dan Russia menyasarkan perdagangan dwihala meningkat kepada AS$100 bilion menjelang 2030, dengan perdagangan kini hampir keseluruhannya didorong oleh import tenaga India.
India turut berusaha mempelbagaikan eksport barangan, termasuk kenderaan, elektronik, mesin berat, tekstil dan makanan, bagi menyeimbangkan perdagangan yang kini berat sebelah ke sektor tenaga, menurut Timbalan Ketua Staf Kremlin, Maxim Oreshkin, dan Menteri Perdagangan India, Piyush Goyal. -REUTERS

