LONDON, 5 Disember – Perdana Menteri Britain, Keir Starmer menegaskan Presiden Rusia, Vladimir Putin memikul tanggungjawab terhadap serangan agen saraf Novichok di Salisbury pada 2018, susulan dapatan terkini siasatan awam mengenai insiden berprofil tinggi itu.
Menurut laporan siasatan awam tersebut, Putin dipercayai telah mengarahkan operatif agensi perisikan tentera Rusia, GRU, melancarkan serangan terhadap ejen berganda Rusia, Sergei Skripal, dalam kejadian yang turut meragut nyawa seorang wanita awam, Dawn Sturgess.
Selepas laporan itu diterbitkan, Britain mengumumkan sekatan baharu terhadap Rusia, termasuk ke atas seluruh agensi GRU yang dinamakan secara langsung dalam siasatan berkenaan.
Rusia bagaimanapun terus menafikan pembabitan mereka dalam serangan berkenaan dan menyifatkan tindakan Britain sebagai tidak berasas.
“Pihak Rusia tidak mengiktiraf sekatan tidak sah yang dikenakan atas alasan rekaan serta memintas Majlis Keselamatan PBB, dan kami berhak mengambil langkah balas,” kata jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova, seperti dilaporkan agensi berita RIA. -REUTERS

