PROVIDENCE, 15 Disember – Ketua Polis Providence, Oscar Perez berkata seorang “individu berkepentingan” yang ditahan susulan insiden tembakan di Universiti Brown berusia dalam lingkungan 20-an, namun enggan mendedahkan butiran lanjut berikutan siasatan masih dijalankan.
Insiden tembakan rambang itu yang terbaharu daripada hampir 400 kes seumpama itu di Amerika Syarikat tahun ini menurut Gun Violence Archive mengejutkan komuniti universiti berkenaan, yang merupakan antara institusi pengajian tertua di negara itu.
Pihak universiti membatalkan peperiksaan dan kelas bagi baki tahun ini, manakala suasana kampus sunyi pada Ahad ketika salji ringan menyelubungi bandar tersebut.
Datuk Bandar Providence, Brett Smiley berkata pihak berkuasa setakat tengah hari Ahad masih belum menghubungi semua ahli keluarga mangsa kerana ada yang sedang dalam perjalanan.
Beliau turut memaklumkan telah bercakap dengan beberapa mangsa yang sedang menerima rawatan di hospital.
Menurut Smiley, tujuh individu yang cedera dalam kejadian di Universiti Brown berada dalam keadaan stabil.
Terdahulu, pihak berkuasa memaklumkan suspek melarikan diri selepas melepaskan tembakan ke arah pelajar di dalam sebuah bilik kuliah di bangunan kejuruteraan Barus & Holley Universiti Brown, ketika pintu luar bangunan itu tidak berkunci semasa peperiksaan sedang berlangsung.-REUTERS

