SANTIAGO, 17 November – Calon presiden Chile, Jose Antonio Kast, mengisytiharkan kemenangan ke atas kerajaan sedia ada pada Ahad, walaupun ketinggalan berbanding calon gabungan pemerintah Jeannette Jara dalam pusingan pertama pilihan raya.
Beliau memperoleh 24% undi berbanding Jara, 27% dan menganggap pusingan kedua pada 14 Disember ini sebagai pilihan antara dua model masyarakat berbeza, sekali gus bakal menentukan komposisi baharu legislatif negara.
“Ketika ini sudah jelas bahawa pihak pembangkang telah mengalahkan sebuah ‘kerajaan yang gagal’ untuk memimpin negara,” kata Kast kepada penyokongnya ketika peratus undian dikeluarkan.
Tumpuan Kast, yang pernah tewas kepada Presiden Gabriel Boric dalam pusingan kedua pada pilihan raya sebelum ini, terarah kepada isu jenayah dan imigresen, termasuk cadangan membina tembok sempadan, mengusir pendatang tanpa dokumen, serta menempatkan tentera di kawasan berisiko tinggi.
Dengan sokongan dijangka berpihak kepada Kast, kemenangan golongan berhaluan kanan dilihat semakin nyata. – REUTERS

