Pheu Thai namakan anak saudara Thaksin sebagai calon PM

BANGKOK, 17 Disember – Parti Pheu Thai mempertaruhkan seorang lagi ahli keluarga Shinawatra yang tidak mempunyai pengalaman politik sebagai calon perdana menteri dalam usaha kebangkitan semula di persada politik Thailand.

Yodchanan Wongsawat, 46, merupakan anak saudara kepada bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra dan anak kepada Somchai Wongsawat.

Beliau diperkenalkan pada Selasa sebagai calon utama Pheu Thai daripada tiga calon yang dipertimbangkan bagi jawatan perdana menteri menjelang pilihan raya umum pada 8 Februari.

“Kami masih percaya boleh menang,” kata Yodchanan dalam temu bual bersama Reuters.

Dalam ucapannya, Yodchanan menegaskan keperluan untuk membawa Thailand ke hadapan dengan sistem baharu yang berteraskan sains dan teknologi, selain menangani cabaran perubahan iklim, geopolitik dan gangguan teknologi.

“Masalah kita bukan hanya ekonomi. Kita berdepan perubahan iklim, geopolitik dan gangguan teknologi. Jika diberi peluang sekali lagi, kami boleh melaksanakan dasar dengan cepat kerana asasnya sudah ada,” katanya.

Yodchanan berkata legasi dasar populis Pheu Thai, termasuk skim kesihatan sejagat dan bantuan tunai yang pernah memberi sokongan kuat di kawasan luar bandar, masih relevan tetapi perlu dinaik taraf selaras dengan perubahan dunia.

“Kita boleh kekalkan sistem sedia ada seperti skim 30 baht, tetapi perlu ditambah baik untuk ekonomi bernilai tinggi, termasuk perubatan gen, terapi sel dan teleperubatan,” katanya.

Menyedari kemungkinan parti itu tidak memperoleh kemenangan mutlak, Yodchanan turut membuka ruang kepada pembentukan gabungan.

“Kami mahu menang, sudah tentu. Tetapi jika tidak, kami boleh bekerjasama dengan parti yang mempunyai niat dan hala tuju yang sama,” tambahnya.

Beliau juga menekankan konsep “kerajaan sinergi”, dengan kerjasama merentasi parti politik, institusi ketenteraan dan negara luar sebagai kunci untuk memastikan kestabilan dan kelangsungan Thailand dalam landskap global yang semakin mencabar.

Thaksin, figura dominan dalam politik Thailand moden, kini menjalani hukuman penjara setahun sejak September lalu selepas disabitkan kesalahan mengelak hukuman penjara sebelum ini berkaitan konflik kepentingan dan penyalahgunaan kuasa semasa memegang jawatan perdana menteri dari 2001 hingga 2006.

Anak perempuan Thaksin, Paetongtarn Shinawatra, pula disingkirkan sebagai perdana menteri pada Ogos lalu menerusi perintah mahkamah berhubung rakaman perbualan telefon bocor dengan bekas pemimpin berpengaruh Kemboja, Hun Sen, ketika kedua-dua negara berada di ambang konflik bersenjata.

Krisis berterusan itu menyaksikan sokongan terhadap Pheu Thai merosot ketara. Tinjauan Institut Pentadbiran Pembangunan Nasional (NIDA) bulan ini menunjukkan sokongan parti itu hanya 11.04 peratus, turun daripada 13.96 peratus pada September dan 28.05 peratus pada Mac lalu.-REUTERS