PERANCIS, 14 Disember -Perancis akan memvaksinasi 1 juta ekor ternakan dalam beberapa minggu akan datang bagi membendung penyakit ‘lumpy skin’.
Menteri Pertanian, Annie Genevar berkata, langkah itu dilakukan susulan para petani menghalang laluan lebuh raya dan membuang najis haiwan berhampiran bangunan awam sebagai protes terhadap penamatan ternakan secara besar-besaran.
Di lebuh raya A64 di barat daya Perancis, berhampiran sempadan Sepanyol, puluhan petani menutup pintu tol masuk dan keluar dengan trak traktor mereka, mengecam rancangan pemusnahan ternakan dan menuntut bantuan bagi kerugian berkaitan perubahan iklim.
Pihak berkuasa Perancis menegaskan pemusnahan menyeluruh terhadap ternakan yang dijangkiti, bersama vaksinasi dan sekatan pergerakan, adalah perlu bagi membendung penyakit serta membolehkan eksport ternakan diteruskan.
“Jika penyakit ini terus merebak di ladang ternakan, ia berpotensi membunuh sekurang-kurangnya 1.5 juta ekor lembu, ” kata Genevard.
Genevard turut menegaskan bahawa petani yang terjejas akan diberikan pampasan atas kerugian mereka.
Beberapa wabak penyakit yang mudah berjangkit itu mendorong pihak berkuasa mengarahkan pemusnahan ternakan dalam skala besar, menimbulkan demonstrasi daripada petani yang menganggap langkah itu keterlaluan.
Satu wabak baharu dikesan di daerah Haute-Garonne, bersempadan dengan Sepanyol, menurut Genevard.
Penyakit lumpy skin ialah virus yang merebak melalui serangga dan memberi kesan kepada lembu dan kerbau, menyebabkan lepuh pada kulit serta mengurangkan pengeluaran susu.
Meskipun tidak membahayakan manusia, penyakit ini sering mengakibatkan sekatan perdagangan dan kerugian ekonomi yang besar. – REUTERS

