WASHINGTON, 17 Disember – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, merancang untuk membubarkan salah satu pusat penyelidikan iklim terkemuka dunia atas alasan kebimbangan terhadap apa yang digelar sebagai “alarmisme iklim”, walaupun berdepan bantahan terhadap rancangan itu.
Pusat Kebangsaan Penyelidikan Atmosfera (NCAR), yang ditubuhkan pada 1960 sebagai hab penyelidikan dan pendidikan di Boulder, Colorado, akan dipecahkan, kata Pengarah Pejabat Pengurusan dan Belanjawan Rumah Putih, Russ Vought, menerusi platform media sosial X.
Beberapa operasi yang dianggap penting akan dipindahkan ke entiti atau lokasi lain.
“Kemudahan ini merupakan salah satu sumber terbesar alarmisme iklim di negara ini,” kata Vought.
Media tempatan melaporkan proses pembubaran akan bermula serta-merta, termasuk rancangan untuk menutup sepenuhnya Makmal Mesa milik NCAR.
Bagaimanapun, langkah itu menerima tentangan daripada komuniti saintifik dan pemimpin tempatan.
Sarjana terkemuka NCAR, Kevin Trenberth, memberi amaran bahawa tindakan tersebut akan mengakibatkan kehilangan besar kepada penyelidikan sains iklim.
Trenberth, yang juga ahli akademik kehormat dalam bidang fizik di Universiti Auckland, New Zealand, berkata pusat itu amat penting dalam usaha mencari penemuan sains iklim yang maju.
Gabenor Colorado, Jared Polis, turut menyuarakan kebimbangan dengan menyatakan bahawa data yang disediakan NCAR berkaitan cuaca ekstrem memainkan peranan penting dalam menyelamatkan nyawa dan harta benda.
“Jika benar, keselamatan awam terancam dan sains sedang diserang,” katanya.
Pentadbiran Trump dalam penggal kedua dilaporkan giat menarik balik dasar tenaga bersih dan iklim yang diperkenalkan oleh pentadbiran sebelumnya pimpinan Joe Biden.
Trump sebelum ini menyifatkan perubahan iklim sebagai satu “penipuan”, dan dalam ucapannya di Pertubuhan Bangsa Bersatu pada September, beliau menyebutnya sebagai “penipuan terbesar yang pernah dilakukan” terhadap dunia.-AFP

