SURIN, 12 Disember -Penduduk Thailand yang dipindahkan akibat konflik di sempadan Thailand–Kemboja semakin hilang keyakinan terhadap kerajaan.
Mereka terkesan susulan pengumuman Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul, yang membubarkan Parlimen semalam.
Di pusat pemindahan sementara, seorang penduduk, Somrai Roongrueng, 73 tahun, melahirkan kegusaran terhadap ketiadaan arahan jelas daripada kerajaan.
“Sekarang tiada siapa yang membuat keputusan sepatutnya Perdana Menteri menentukan sama ada gencatan senjata akan dibuat. Jika tiada Perdana Menteri, siapa yang akan memutuskan?
Saya tiada pendapatan dan tiada wang untuk membeli makanan. Siapa hendak membantu kami? Saya pula tidak boleh bekerja kerana konflik ini masih berlaku,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Yod Lengtharmdee, 60 tahun berkata, kerajaan tidak pernah benar-benar menyelesaikan isu sempadan.
“Ada atau tiada Perdana Menteri, keadaan tetap tidak menentu.
Saya sudah banyak kali melarikan diri akibat pertempuran,” katanya.
Kerajaan Thailand memaklumkan, Anutin akan berhubung dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, lewat hari ini bagi membincangkan perkembangan sempadan. -REUTERS

