SYDNEY, 15 Disember – Pemimpin dunia termasuk keluarga diraja Britain menzahirkan ucapan takziah susulan serangan di Pantai Bondi, Sydney, pada Ahad yang mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang.
Pihak berkuasa Australia turut mengesahkan 29 individu termasuk dua anggota polis dilaporkan cedera.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio dalam satu hantaran di media sosial mengecam keras serangan berkenaan.
“Amerika Syarikat mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas yang menyasarkan sambutan Yahudi di Australia. Antisemitisme tidak mempunyai tempat di dunia ini,” katanya sambil menzahirkan doa kepada mangsa dan rakyat Australia.
Perdana Menteri Britain, Keir Starmer turut menyifatkan kejadian itu sebagai amat menyedihkan dan menjijikkan.
“Chanukah seharusnya menjadi masa kegembiraan. Serangan pengganas antisemitik terhadap keluarga Yahudi ini adalah sesuatu yang memualkan,” katanya, sambil menegaskan sokongan Britain terhadap Australia dan komuniti Yahudi.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron pula menegaskan komitmen negaranya untuk terus memerangi kebencian antisemitik.
“Perancis berkongsi kesedihan rakyat Australia dan akan terus melawan kebencian antisemitik di mana sahaja ia berlaku,” katanya.
Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen menyatakan Eropah berdiri teguh bersama Australia dan komuniti Yahudi di seluruh dunia, bersatu menentang keganasan dan kebencian.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyuarakan rasa terkejut dan mengutuk serangan maut tersebut.
“Hati saya bersama komuniti Yahudi di seluruh dunia pada hari pertama Chanukah, perayaan yang melambangkan keamanan dan cahaya,” katanya.
Ucapan takziah turut disampaikan pemimpin Norway, Sweden dan New Zealand yang mengecam serangan berkenaan serta menegaskan keperluan bersama membanteras penyebaran antisemitisme.
Dalam perkembangan sama, Raja Britain, Raja Charles III turut menyifatkan serangan itu sebagai perbuatan kejam dan mengutuk keganasan terhadap komuniti Yahudi.
Baginda turut memuji tindakan pantas pihak polis, pasukan kecemasan serta orang awam yang bertindak berani sehingga berjaya mengelakkan tragedi lebih besar.
Pihak berkuasa Australia sebelum ini memaklumkan beberapa peranti letupan buatan sendiri yang disyaki sedang diperiksa, manakala siasatan lanjut berhubung insiden itu masih dijalankan.- REUTERS

