LONDON, 8 Disember -Seorang pemandu pikap menyebabkan kerosakan bernilai ratusan ribu pound selepas merempuh bilik pameran McLaren di Hockley Heath, dekat Solihull, pada petang Ahad.
Kejadian berlaku selepas pemandu itu didakwa keluar dari parkir sebuah pub yang terletak bertentangan, sebelum kenderaan tersebut terbabas ke arah bangunan di Stratford Road.
Polis dan pasukan bomba bergegas ke lokasi, manakala pemandu terbabit dibawa ke hospital akibat kecederaan.
‘Solihull Live’ melaporkan, bilik pameran itu mengalami kerosakan besar apabila kenderaan pikap tersebut merempuh cermin kaca sebelum melanggar dua supercar.
Antara model yang rosak ialah McLaren 750S Spider berharga £269,850, yang terhumban ke arah McLaren GT bernilai £104,850.
Jumlah kerosakan bagi kedua-dua kereta sahaja dianggarkan £374,700, tidak termasuk kerosakan pada bangunan.
Polis West Midlands mengekalkan kawalan di lokasi sepanjang malam, dengan bantuan pengawal keselamatan bagi melindungi lima supercar lain yang tidak terjejas.
Penilai insurans turut dilihat membuat dokumentasi kerosakan bangunan dan kenderaan. -AFP

