NEW YORK, 11 Disember – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menyambung semula sebahagian operasi di sempadan Afghanistan–Iran selepas ia digantung akibat larangan Taliban terhadap pekerja wanita Afghanistan, kata seorang pegawai kanan PBB.
Pada akhir Oktober, pihak Taliban melarang hampir semua wanita Afghanistan bekerja di pusat penerimaan pelarian Islam Qala iaitu pintu masuk utama bagi rakyat Afghanistan yang diusir dari Iran.
Tahun ini sahaja, lebih 1.2 juta rakyat Afghanistan melalui pusat itu, dan lebih 60% adalah wanita dan kanak-kanak, menurut PBB.
“Kami berjaya mendapatkan kebenaran untuk beberapa petugas kesihatan wanita kembali bekerja, dan perkhidmatan kesihatan penting telah disambung semula.
Namun operasi lain masih terhenti,” kata Ketua Kemanusiaan PBB, Tom Fletcher, kepada Majlis Keselamatan PBB.
Beliau menggesa pihak Taliban menarik balik larangan terhadap wanita Afghanistan bekerja dengan badan dunia itu.
Larangan terhadap pekerja wanita bukan baharu. Pada 2022, Taliban melarang NGO menggaji wanita Afghanistan, dan pada 2023 larangan itu diperluas kepada agensi PBB.
Mulai September tahun ini, wanita tidak dibenarkan memasuki pejabat PBB, menyebabkan semua kakitangan wanita Afghanistan hanya boleh bekerja dari rumah.
“Ketiadaan wanita di tempat kerja adalah peringatan tragis tentang sekatan tidak boleh diterima yang terus dihadapi wanita Afghanistan,” tegas Fletcher.
Fletcher turut memberi amaran bahawa pemotongan besar-besaran terhadap dana bantuan kemanusiaan global memberi kesan serius kepada Afghanistan.
“Kekurangan dana memaksa pusat bantuan ditutup dan mengurangkan bantuan kepada jutaan orang. Akhirnya, nyawa melayang,” katanya.
Musim sejuk ini, Afghanistan buat pertama kali dalam beberapa tahun tidak akan menerima bantuan makanan antarabangsa secara besar-besaran selepas lebih 300 pusat pemakanan ditutup.
Menurut PBB, 3.7 juta kanak-kanak memerlukan bantuan pemakanan, termasuk 1.7 juta yang berisiko maut jika tidak dirawat.- AFP

