PBB rayu AS$33 bilion untuk usaha kemanusiaan 2026

NEW YORK, 9 Disember – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan rakan kongsinya sedang berusaha mendapatkan AS$23 bilion untuk menyediakan sokongan menyelamatkan nyawa pada tahun depan kepada 87 juta orang di seluruh dunia yang terjejas akibat perang, bencana iklim, gempa bumi, wabak dan kegagalan tanaman, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).

Ini merupakan keutamaan segera dalam Global Humanitarian Overview (GHO) 2026 berjumlah AS$33 bilion yang dilancarkan pada Isnin, yang menyasarkan untuk membantu keseluruhan 135 juta orang di 50 negara.

“Rayuan ini menjelaskan keutamaan tempat kita perlu menumpukan tenaga kolektif terlebih dahulu: nyawa demi nyawa,” kata Ketua Kemanusiaan PBB, Tom Fletcher.

GHO yang dikemas kini itu dikeluarkan selepas setahun yang dicirikan oleh pemotongan drastik terhadap operasi kemanusiaan dan jumlah serangan maut terhadap petugas bantuan yang tertinggi dalam rekod.

Ia merangkumi 29 pelan terperinci dan yang terbesar adalah bagi Wilayah Palestin yang Diduduki, dengan AS$4.1 bilion diperlukan untuk membantu kira-kira tiga juta orang.

Fletcher mengingatkan bahawa rayuan 2025 hanya menerima AS$12 bilion – pembiayaan terendah dalam tempoh sedekad. Akibatnya, petugas kemanusiaan hanya dapat membantu 25 juta orang lebih sedikit berbanding tahun sebelumnya. -BERNAMA-WAM