ISLAMABAD, 9 Disember – Pakistan menyambut baik kelulusan pembiayaan tambahan pinjaman sebanyak AS$1.2 bilion daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi menyokong usaha pemulihan ekonomi dan pelaksanaan reformasi negara itu.
Kelulusan tersebut dibuat dalam mesyuarat IMF di Washington pada Isnin, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan yang diterima Pakistan di bawah dua kemudahan pembiayaan, iaitu dana penyelamatan dan dana kemampanan iklim kini mencecah AS$3.3 bilion.
Menurut Timbalan Pengarah Urusan IMF, Nigel Clarke, pelaksanaan reformasi oleh Pakistan telah membantu mengekalkan kestabilan ekonomi negara itu meskipun berdepan kejutan seperti banjir besar tahun lalu.
IMF menjangkakan pertumbuhan ekonomi Pakistan meningkat kepada 3.2 peratus bagi tahun fiskal sehingga Jun 2026, berbanding anggaran 3.0 peratus tahun lalu.
Sementara itu, inflasi dijangka turun kepada purata 6.3 peratus tahun fiskal ini, jauh lebih rendah berbanding 23.4 peratus pada tahun sebelumnya.
“Bagaimanapun, Pakistan perlu meneruskan pembaharuan, termasuk penswastaan syarikat milik kerajaan serta meningkatkan pelaburan dalam projek berkaitan iklim bagi mengurangkan risiko bencana cuaca ekstrem,” tegas Clarke.
Beliau turut menekankan keperluan memperkukuh usaha memerangi rasuah, sambil menyifatkan laporan kerajaan mengenai isu penipuan sebagai langkah positif ke arah pembaharuan.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, dalam satu kenyataan menyifatkan kelulusan pinjaman baharu itu sebagai bukti bahawa negara tersebut berada di landasan yang betul menuju kestabilan ekonomi.
Beliau berkata usaha membawa Pakistan keluar daripada risiko kegagalan bayaran hutang merupakan fasa mencabar yang memerlukan pengorbanan pelbagai pihak.
Pakistan hampir gagal membayar hutang pada 2023 sebelum memeterai kemudahan Extended Fund Facility (EFF) bersama IMF, yang dijangka bernilai AS$7 bilion dalam beberapa tahun akan datang.
Sebagai komitmen kepada perjanjian itu, Pakistan berikrar menangani rasuah, pengubahan wang haram dan isu pembiayaan keganasan.
Pada November lalu, IMF menerbitkan laporan yang mengesahkan kewujudan risiko rasuah yang meluas dalam ekonomi Pakistan yang banyak dikawal kerajaan, selain memberi kesan negatif kepada pertumbuhan dan keyakinan pelabur.
Pakistan kini merupakan antara peminjam terbesar IMF selepas Argentina dan Ukraine, dan turut menerima pembiayaan AS$20 bilion daripada Bank Dunia pada Januari lalu bagi tempoh 10 tahun. – AFP

