Menteri Korea Selatan letak jawatan, didakwa terima dana haram gereja

SEOUL, 11 Disember – Seorang menteri Korea Selatan hari ini mengumumkan peletakan jawatan selepas didakwa menerima dana haram daripada Gereja Unification, sebuah kumpulan berunsur kultus yang kini disiasat atas sumbangan politik tidak sah.

Gereja yang terkenal dengan majlis perkahwinan beramai-ramai itu kini disiasat berhubung dakwaan sumbangan haram yang turut dikaitkan dengan bekas wanita pertama negara itu, Kim Keon Hee.

Suaminya, Yoon Suk Yeol digulingkan pada April lalu dan kini sedang menjalani hukuman penjara susulan pelaksanaan undang-undang tentera secara singkat tetapi mencetuskan krisis.

Laporan media tempatan turut mendakwa ahli politik daripada parti pemerintah dan pembangkang bermungkinan menerima dana daripada gereja tersebut.

Menteri Lautan, Chun Jae-soo, dituduh menerima wang tunai sebanyak 30 juta won (AS$20,500) serta dua jam tangan mewah daripada gereja itu antara 2018 hingga 2020 ketika beliau masih menjadi ahli parlimen.

Dakwaan itu dikatakan dibuat oleh bekas ketua global gereja, Yun Young-ho, ketika disoal siasat.

“Sebagai penjawat awam, meletakkan jawatan dan memberi kerjasama sepenuhnya adalah tindakan yang wajar,” kata Chun kepada pemberita pada Khamis.

Beliau menafikan sebarang salah laku tetapi berkata keputusan berundur dibuat bagi memastikan urusan kerajaan dapat diteruskan “tanpa terganggu”.

Peletakan jawatan Chun dibuat sehari selepas Presiden Lee mengarahkan siasatan terhadap hubungan haram antara “kumpulan keagamaan” dan ahli politik dipercayai merujuk kepada Gereja Unification.

“Seperti mana individu boleh dikenakan hukuman atas kesalahan, syarikat atau yayasan juga wajar dibubarkan jika melakukan tindakan yang melanggar perlembagaan, undang-undang dan mencetuskan kecaman awam,” kata Lee.

Diasaskan pada 1954 oleh Moon Sun-myung, Gereja Unification mendakwa memiliki sekitar tiga juta penganut termasuk 300,000 di Korea Selatan dan 600,000 di Jepun.

Jepun kini dalam proses membubarkan cawangan gereja itu susulan kes pembunuhan bekas Perdana Menteri Shinzo Abe.-AFP