SUMATERA, 14 Disember – Jumlah korban akibat banjir dan tanah runtuh yang melanda tiga wilayah di Pulau Sumatera, Indonesia meningkat kepada 1,003 orang, manakala 218 lagi masih dilaporkan hilang, menurut data terbaharu yang dikeluarkan Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB).
Bencana yang melibatkan wilayah Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat itu turut mengakibatkan kerosakan besar terhadap infrastruktur awam.
Data BNPB merekodkan kira-kira 1,200 kemudahan awam terjejas, termasuk 219 fasiliti kesihatan, 581 kemudahan pendidikan, 434 rumah ibadat, 290 bangunan pejabat serta 145 jambatan.
Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi BNPB, Abdul Muhari, berkata proses pengesahan data mangsa masih diteruskan di peringkat daerah dan subdaerah.
“Pengesahan dibuat melalui perbandingan dengan rekod sivil, termasuk pengesahan nama dan alamat mangsa, dan proses itu masih berjalan di beberapa kawasan terjejas,” katanya dalam sidang media pada Jumaat.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa melaksanakan operasi pengubahsuaian cuaca secara berterusan di tiga wilayah terbabit bagi mengelakkan hujan lebat yang boleh menjejaskan usaha menyelamat serta penghantaran bantuan udara.
Sementara itu, Presiden Indonesia Prabowo Subianto, ketika melawat kawasan terjejas di Aceh pada Jumaat, berkata kerajaan terus berusaha memenuhi keperluan asas penduduk yang terkesan akibat bencana berkenaan.- REUTERS

