Korea Utara ancam tindakan agresif susulan perbincangan keselamatan AS-Korea Selatan

SEOUL, 8 November – Menteri Pertahanan Korea Utara, No Kwang Chol, pada Sabtu mengeluarkan kenyataan mengancam akan mengambil “tindakan lebih ofensif” dan mengkritik perbincangan keselamatan antara Amerika Syarikat (AS) dan Seoul serta ketibaan kapal pengangkut pesawat AS di Korea Selatan.

“Ini adalah pendedahan jelas dan ekspresi terbuka niat permusuhan mereka untuk menentang Republik Rakyat Demokratik Korea hingga ke penghujung,” kata No Kwang Chol menurut laporan media negara, KCNA.

Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas Korea Utara menembak peluru berpandu balistik ke arah laut di pantai timurnya pada Jumaat, susulan pengumuman sekatan baru AS terhadap individu dan entiti Korea Utara yang didakwa terlibat dalam skim pengubahan wang berkaitan siber pada Khamis (6 November).

Beliau turut mengkritik lawatan ketua-ketua pertahanan AS dan Korea Selatan ke sempadan antara Korea Utara dan Selatan baru-baru ini serta perbincangan keselamatan di Seoul.

No Kwang Chol turut mendakwa lawatan itu merupakan konspirasi untuk meningkatkan usaha pencegahan terhadap Korea Utara serta mengintegrasikan kekuatan nuklear dan konvensional mereka.

Sementara itu, Setiausaha Perang Amerika Syarikat, Pete Hegseth, yang disambut oleh Menteri Pertahanan Korea Selatan, Ahn Gyu-back, pada Selasa lalu, berkata teras perikatan dengan Seoul akan terus memfokuskan kepada usaha menangkis ancaman Korea Utara.

Tambahnya, Washington juga akan meneliti fleksibiliti bagi tenteranya yang ditempatkan di Korea Selatan untuk bertindak terhadap ancaman serantau.-REUTERS