PHNOM PENH, 15 Disember – Kemboja pada Isnin menuduh Thailand menyerang jauh ke dalam wilayahnya yang menjadi lokasi tapak bersejarah Angkor, tarikan pelancong utama negara itu buat kali pertama dalam konflik sempadan yang kembali hangat.
Pertempuran lima hari pada Julai lalu mengorbankan puluhan orang sebelum gencatan senjata dicapai namun ia dilanggar dalam beberapa bulan kemudian.
Pertempuran semula bulan ini telah mengorbankan sekurang-kurangnya 31 orang, termasuk tentera dan orang awam, serta mengusir kira-kira 800,000 penduduk, menurut pihak berkuasa.
Kedua-dua pihak saling menuduh antara satu sama lain sebagai punca pertempuran, masing-masing mendakwa tindakan membela diri dan menuduh serangan terhadap orang awam.
Menurut Kementerian Pertahanan Kemboja, sebuah kapal terbang pejuang Thailand membom berhampiran kem pelarian di daerah Srei Snam, wilayah Siem Reap. Kawasan itu terletak kurang dua jam pemanduan dari kompleks Angkor Wat, tapak warisan UNESCO dan tarikan pelancong utama negara.
Menteri Maklumat Kemboja, Neth Pheaktra berkata ia adalah serangan paling jauh tentera Thailand ke dalam wilayah Kemboja sejak pertempuran semula bermula, lebih 70 km dari sempadan dan jauh dari kawasan yang dipertikaikan.
Beliau menambah bahawa ia juga kali pertama tentera Thailand membom kawasan di wilayah Siem Reap dan serangan itu memaksa ratusan keluarga dipindahkan. -AFP

