Keluarga mangsa tragedi Air India masih trauma enam bulan selepas nahas

AHMEDABAD, 12 Disember -Enam bulan selepas pesawat Air India terhempas di kawasan perumahan Ahmedabad, keluarga mangsa masih berdepan trauma dan kehilangan yang mendalam.

Mangsa, Akash Patni, 12 tahun, maut di lokasi kejadian apabila serpihan pesawat menimpanya yang ketika itu berada berhampiran gerai teh.

Bapanya, Suresh Patni, 48 tahun, berkata, mereka tidak sempat berbuat apa-apa ketika kejadian berlaku.

“Bahagian pesawat jatuh terus ke kawasan itu. Asap dan api terlalu kuat, tiada siapa dapat mendekat.

Anak saya rentung. Kami tidak sempat membawanya ke hospital,” katanya.

Ibu mangsa, Sita Patni, 45 tahun, meneruskan hidup dengan kesan luka melecur ketika cuba menyelamatkan anaknya.

“Semuanya berlaku depan mata saya. Saya cuba tarik dia keluar, tetapi tidak berjaya,” katanya.

Pesawat Boeing 787-8 Dreamliner itu terhempas pada 12 Jun lalu ketika berlepas ke London selepas bekalan bahan api ke kedua-dua enjinnya terputus.

Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Tragedi itu mengorbankan 241 daripada 242 penumpang dan kru, selain 19 penduduk tempatan.

Hanya seorang penumpang terselamat. -AFP