Kebakaran tragis pengaruhi kadar keluar mengundi pilihan raya Hong Kong

HONG KONG, 8 Disember -Pilihan raya Hong Kong pada Ahad merekodkan kadar keluar mengundi rendah.

Ia dipengaruhi kemarahan awam selepas kebakaran tragis di Mong Kok minggu lalu yang meragut puluhan nyawa.

Bagaimanapun, penyertaan pengundi masih meningkat sedikit berbanding pilihan raya 2021.

Kerajaan Hong Kong memaklumkan, 31.9 peratus pengundi hadir menunaikan tanggungjawab, berbanding 30.2 peratus pada 2021.

Hanya calon yang diluluskan sebagai “patriot” oleh kerajaan dibenarkan bertanding bagi 90 kerusi Majlis Perundangan.

Masa mengundi turut dilanjutkan dan pusat mengundi tambahan dibuka.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, David Lok berkata, kebakaran besar itu memberi kesan ketara terhadap masyarakat.

“Kebakaran itu mengubah suasana sosial dan menjadikan pilihan raya sukar dianjurkan.

Namun lebih 1.3 juta pengundi tetap keluar mengundi,” katanya.

Calon pro-Beijing, Priscilla Leung, yang berjaya mempertahankan kerusinya berkata, proses pembentukan majlis perlu diteruskan segera walaupun masyarakat masih bersedih.

“Kita perlu jelaskan kepada orang ramai bahawa kerja legislatif mesti berjalan.

Banyak kelemahan pengurusan bangunan lama perlu diperbaiki segera,” katanya.

Jumlah pengundi berdaftar turut menurun kepada 4.13 juta, merekodkan penurunan empat tahun berturut-turut sejak mencapai 4.47 juta pada 2021. -REUTERS