Jurang digital beri cabaran kepada syarikat kecil di China

YANCHENG, 14 Disember – Kerajaan China terus menyalurkan pelaburan berbilion dolar dalam bidang robotik dan kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh kedudukan negara itu dalam sektor robot industri.

Beberapa kilang beroperasi hampir sepenuhnya tanpa kehadiran manusia secara fizikal, namun peluasan automasi secara menyeluruh turut menimbulkan persoalan mengenai pengecilan peluang pekerjaan, selain kos dan cabaran peralihan yang dihadapi syarikat kecil dan sederhana.

Menurut pakar dan pemilik kilang kebanyakan pihak berpendapat pendekatan hibrid — gabungan manusia dan automasi — dilihat sebagai penyelesaian.

Pengurus bengkel kenderaan autonomi Neolix, Liu Jingyao berkata, peranan manusia masih penting walaupun dalam persekitaran pembuatan yang berteknologi tinggi.

“Banyak keputusan masih memerlukan pertimbangan manusia. Keputusan ini melibatkan kemahiran tertentu yang masih perlu dikendalikan oleh manusia,” katanya.

Syarikatnya, Neolix, menghasilkan kenderaan kecil dan terletak kira-kira 300 kilometer di utara Shanghai, kenderaan tanpa pemandu yang baru dibangunkan menjalani ujian di trek khas yang mensimulasikan pelbagai halangan termasuk lopak air dan jambatan.

Dalam sebuah bilik tertutup, pekerja memasang komponen penting kenderaan dengan menguji kamera serta cip komputer.

“Automasi pada asasnya berfungsi untuk membantu manusia, mengurangkan intensiti buruh dan bukannya menggantikan sepenuhnya tenaga kerja,” kata Liu.

Bagaimanapun, pakar kejuruteraan mekanikal dari Universiti Jiaotong Shanghai, Ni Jun, berkata strategi China yang menumpukan penggunaan AI dalam aplikasi industri menjadikan automasi penuh boleh dilaksanakan dalam banyak sektor.

Antaranya, gergasi teknologi Xiaomi mengendalikan kemudahan tanpa pekerja manusia dan tanpa keperluan pencahayaan, dengan robot menghasilkan telefon pintar secara automatik.

Jurang Digital

Ni turut menyifatkan wujudnya ‘jurang digital’ antara syarikat besar yang mempunyai kemampuan kewangan untuk melabur dalam pembangunan, dan perusahaan kecil bergelut untuk mengikut perkembangan teknologi.

Syarikat Percetakan milik Zhu Yefeng, juga turut bergelut dengan cabaran semasa. Pekerja di syarikat itu masih menggunakan kaedah manual untuk mengendalikan peralatan percetakan label bagi peranti elektronik.

Sehingga dua tahun lalu, syarikat itu masih menggunakan pen dan kertas untuk menjejak aliran kerja, dengan pengurus terpaksa bergerak dari satu bahagian ke bahagian lain bagi menyampaikan maklumat pesanan.

“Terus terang, keadaan ketika itu amat kelam-kabut,” kata Zhu.

Syarikat itu kini menggunakan perisian yang membolehkan pekerja mengimbas kod QR untuk mengemas kini status kerja dalam sistem pemantauan kilang.

“Kami akan bergerak ke arah teknologi lebih maju seperti automasi bagi membolehkan kami menerima pesanan yang lebih besar daripada pelanggan,” katanya.

Namun, kekangan kewangan kekal menjadi cabaran utama kepada syarikat kecil seperti miliknya selain berdepan perbelanjaan tertentu.

Walaupun pasukannya sedang membangunkan mesin robotik sendiri bagi tujuan ujian kualiti namun pemeriksaan akhir produk masih dilakukan oleh manusia secara fizikal buat masa ini.

Tekanan Pekerjaan

Jacob Gunter dari Institut Mercator untuk Kajian China yang berpangkalan di Berlin berpendapat kemajuan dalam bidang teknologi berpotensi meningkatkan pengangguran.

“Syarikat pasti berminat untuk mengurangkan bilangan pekerja, namun kerajaan tidak akan menyukai perkara itu dan akan berdepan tekanan besar untuk mengimbanginya,” katanya.

Usaha Beijing memperkasa pembangunan robot industri, akan bertembung dengan keperluan mengekalkan kadar pekerjaan yang tinggi ketika tekanan pasaran buruh semakin meningkat.

Pada masa hadapan, pengeluar perlu mencari keseimbangan antara kebolehlaksanaan teknikal, tanggungjawab sosial dan keperluan perniagaan, kata Ni.

Ketua Pegawai Eksekutif Black Lake Technologies, Zhou Yuxiang, yang membekalkan perisian kepada kilang milik Zhu, berkata kilang pada masa depan akan kekal menggunakan pendekatan hibrid.

“Matlamat sebenar kilang adalah untuk mengoptimumkan pengeluaran, memenuhi keperluan pelanggan dan menjana keuntungan,” katanya.- AFP