TOKYO, 17 Disember – Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, menegaskan bahawa negaranya sentiasa terbuka untuk berdialog dengan China walaupun hubungan diplomatik kedua-dua negara tegang susulan kenyataannya mengenai Taiwan.
Menurut Takaichi, China merupakan jiran penting kepada Jepun dan hubungan yang konstruktif serta stabil perlu terus dibina demi kepentingan bersama.
“Jepun sentiasa terbuka untuk dialog dengan China. Kami tidak menutup pintu,” katanya dalam satu sidang media pada Rabu.
Kenyataan tersebut dibuat susulan pertikaian diplomatik antara Tokyo dan Beijing selepas Takaichi pada November lalu mencadangkan Jepun mungkin campur tangan secara ketenteraan sekiranya Taiwan diserang.
Dalam perkembangan terbaru pertikaian itu, pesawat tentera China dilaporkan mengunci radar ke arah jet Jepun, sekali gus mendorong Tokyo memanggil duta China bagi mendapatkan penjelasan.
China, yang menganggap Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya, mengancam menggunakan kekerasan bagi membawa pulau itu di bawah kawalannya, selain menggesa rakyatnya supaya mengelakkan perjalanan ke Jepun.
Data rasmi yang dikeluarkan pada Rabu menunjukkan amaran itu memberi kesan kepada sektor pelancongan Jepun.
Ketibaan pelawat dari tanah besar China pada November hanya meningkat tiga peratus berbanding tempoh sama tahun lalu pertumbuhan paling rendah sejak Januari 2022, menurut Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan Jepun (JNTO).
Kira-kira 560,000 pelancong China melawat Jepun bulan lalu, jauh lebih rendah berbanding pertumbuhan dua digit yang dicatatkan dalam beberapa bulan sebelumnya, 22.8 peratus pada Oktober, 18.9 peratus pada September dan 36.5 peratus pada Ogos.
China kekal sebagai sumber pelancong terbesar Jepun, dengan hampir 7.5 juta pelawat direkodkan dalam sembilan bulan pertama 2025, merangkumi satu perempat daripada jumlah keseluruhan pelancong asing.-AFP

