GAZA, 17 Disember – Israel berulang kali melanggar perjanjian gencatan senjata di Gaza, yang mengakibatkan kira-kira 400 rakyat Palestin terkorban sejak perjanjian itu berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu.
Menurut pegawai kanan Hamas, Ghazi Hamad, negara haram itu telah melakukan lebih 800 pelanggaran termasuk pembunuhan orang awam dan pengeboman sejak gencatan senjata itu bermula.
Beliau juga mendakwa tentera Israel berulang kali melanggar “garisan kuning,” zon yang sepatutnya ditinggalkan oleh tentera Israel sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata.
“Lebih 95 peratus daripada mangsa adalah orang awam. Pihak Israel terus menghalang kemasukan bekalan bantuan ke Gaza dan enggan memberikan maklumat mengenai tahanan Palestin serta individu hilang,” kata Hamad.
Sehubungan itu, pihak-pihak yang menjadi perantara dan institusi antarabangsa diseru agar mengambil langkah segera dan konkrit bagi menghentikan pelanggaran gencatan senjata oleh tentera Israel dan mengekalkan kestabilan di Gaza.
Beliau menegaskan Israel perlu memikul tanggungjawab penuh terhadap semua tindakan liar yang melanggar dan merosakkan perjanjian keamanan tersebut.
Pada masa sama, jurucakap Hamas, Hazem Qassem, berkata kombinasi cuaca buruk dan sekatan yang berterusan telah menyebabkan khemah dan penempatan sementara di Gaza dinaiki air, lebih parah terdapat kanak-kanak meninggal dunia akibat kesejukan, sekali gus menimbulkan krisis kemanusiaan yang teruk di wilayah itu.
“Tentera Israel hanya membenarkan kurang daripada 10 peratus daripada bekalan bahan api yang dipersetujui memasuki Gaza. Kekurangan bahan bakar telah merumitkan lagi kehidupan penduduk,” kata Qassem.
Tambah beliau, jika masyarakat antarabangsa tidak campur tangan segera, Gaza akan menghadapi bencana yang tidak dapat dielakkan.-REUTERS

