Hun Sen sahkan Kemboja balas serangan Thailand

PHNOM PENH, 9 Disember -Bekas Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, mengesahkan bahawa negara itu telah membalas serangan tentera Thailand dalam pertempuran terbaharu di sepanjang sempadan kedua-dua negara.

Beliau berkata, Kemboja pada awalnya menahan diri lebih 24 jam bagi menghormati gencatan senjata dan memberi masa untuk memindahkan penduduk ke kawasan selamat.

“Selepas lebih 24 jam bersabar, pasukan kami terpaksa bertindak balas malam tadi dan pagi ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Hun Sen yang juga Presiden Senat turut mengarahkan tentera mempertahankan semua kawasan yang diserang serta melaksanakan strategi operasi bagi mengekang kemaraan pihak lawan.

Pertempuran yang tercetus semula minggu ini telah mengorbankan enam penduduk Kemboja dan seorang anggota tentera Thailand, manakala lebih 20 lagi cedera.

Insiden terbaharu itu turut menyaksikan Thailand melancarkan serangan udara dan menggerakkan kereta kebal ke kawasan sempadan pada Isnin.

Thailand dan Kemboja saling menuduh antara satu sama lain sebagai pihak yang memulakan pertempuran.

Sebelum ini, jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Maly Socheata, menegaskan pasukan negara itu tidak membalas serangan Thailand.

Pertempuran besar sebelum ini meragut 43 nyawa dan memaksa kira-kira 300,000 penduduk dipindahkan sebelum gencatan senjata dicapai. -AFP