Hujan lebat landa Gaza, bangunan rosak tingkat risiko runtuh

GAZA, 16 Disember – Pihak berkuasa di Gaza memberi amaran bahawa lebih banyak bangunan yang rosak akibat perang berisiko runtuh berikutan hujan lebat yang melanda wilayah Palestin itu, selain memaklumkan keadaan cuaca menyukarkan usaha mengeluarkan mayat yang masih tertimbus di bawah runtuhan.

Dua bangunan runtuh di Gaza pada Jumaat lepas mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang, ketika ribut melanda kawasan itu sehingga menghanyutkan dan menenggelamkan khemah-khemah serta menyebabkan kematian akibat terdedah kepada cuaca sejuk.

Israel dan Hamas telah bersetuju melaksanakan gencatan senjata pada Oktober selepas dua tahun pengeboman, namun bantuan masih sangat terhad, hampir keseluruhan penduduknya kini kehilangan tempat tinggal.

Sementara itu, Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Basal, menggesa masyarakat antarabangsa menyediakan rumah mudah alih dan karavan bagi menggantikan khemah, sambil memberi amaran lebih ramai orang awam termasuk kanak-kanak dan wanita berisiko terkorban.

“Jika penduduk tidak dilindungi hari ini, kita akan menyaksikan lebih ramai mangsa, lebih banyak kematian melibatkan orang awam, kanak-kanak, wanita dan seluruh keluarga di dalam bangunan-bangunan ini,” katanya.

Kira-kira 9,000 mayat masih tertimbus di bawah runtuhan akibat pengeboman rejim zionis, namun usaha mengeluarkannya terjejas berikutan kekurangan jentera berat.-REUTERS