HANOI, 11 Disember – Ibu negara Vietnam, Hanoi kembali diselubungi jerebu tebal apabila bacaan kualiti udaranya mencecah paras ‘sangat tidak sihat’ pada Khamis, menurut data pemantauan antarabangsa.
Pada pukul 2 petang waktu tempatan, Indeks Kualiti Udara (AQI) direkodkan pada 213, berdasarkan laporan IQAir, syarikat teknologi pemantauan pencemaran yang berpangkalan di Switzerland.
Vietnam, sebagai hab perindustrian dan bandar yang pesat membangun telah lama berdepan masalah pencemaran udara yang serius terutamanya di Hanoi.
“Saya terpaksa memakai pelitup muka sepanjang masa,” kata Pham Thu Giang, 30, seorang pekerja di ibu negara itu ketika ditemui.
Pihak berkuasa menyatakan bahawa pencemaran banyak berpunca daripada pengangkutan, aktiviti industri, kerja-kerja pembinaan, serta pembakaran sampah dan sisa pertanian.
Bagi menangani masalah itu, bandar Hanoi merancang untuk melaksanakan larangan berperingkat motosikal berkuasa petrol di pusat bandar bermula pertengahan 2026, yang kemudian akan diperluas kepada kenderaan lain yang menggunakan bahan api fosil.
Kementerian Kesihatan turut menggesa kilang kuasa, besi dan kimia mengurangkan operasi apabila paras PM2.5 melebihi 200, bagi mengurangkan risiko kesihatan kepada penduduk. -REUTERS

