Hamas sedia lucut senjata bersyarat

GAZA, 7 Disember – Hamas menyatakan kesediaannya untuk melucutkan senjata di Gaza kepada sebuah autoriti Palestin yang mentadbir wilayah itu, dengan syarat pendudukan tentera Israel ditamatkan sepenuhnya.

Ketua perunding Hamas, Khalil al-Hayya, menerusi satu kenyataan berkata bahawa keberadaan senjata kumpulan itu bergantung kepada wujudnya pendudukan dan serangan Israel.

“Senjata kami berkait dengan kewujudan pendudukan dan pencerobohan. Jika pendudukan berakhir, senjata-senjata ini akan diletakkan di bawah autoriti negara,” kata Hayya.

Beliau merujuk kepada sebuah negara Palestin yang berdaulat dan merdeka.

Hayya turut menyatakan bahawa Hamas bersedia menerima penempatan pasukan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sebagai pasukan pemisah untuk memantau sempadan dan memastikan pematuhan gencatan senjata di Gaza, satu isyarat penolakan terhadap cadangan penempatan pasukan antarabangsa yang bertujuan melucutkan senjata kumpulan itu.-AFP