BANGKOK, 13 Disember – Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, menuduh Kemboja bertanggungjawab terhadap pertempuran maut di sempadan minggu ini yang telah meragut sekurang-kurangnya 20 nyawa dan memaksa kira-kira 500,000 penduduk melarikan diri.
Menerusi satu panggilan telefon dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Anutin berkata gencatan senjata hanya akan berlaku sekiranya Kemboja bersedia mematuhinya.
Beliau turut menegaskan bahawa selaku pihak yang melanggar perjanjian gencatan senjata, Kemboja perlu memperbetulkan keadaan dan bukannya pihak yang terjejas (Thailand).
“Trump berkata beliau mahukan gencatan senjata,” kata Anutin kepada media selepas panggilan itu.
“Saya membalas bahawa lebih baik beliau sampaikan perkara itu kepada rakan kita, Kemboja. Perlu diumumkan kepada dunia bahawa Kemboja akan mematuhi gencatan senjata”, tambahnya.
Trump, yang sebelum ini mengaku berjaya mewujudkan perjanjian gencatan senjata antara Thailand dan Cambodia Julai lepas berkata akan menghubungi pemimpin Kemboja untuk mengembalikan keamanan dan memastikan rundingan damai terus berlangsung.
Sebelum ini, Amerika Syarikat, China dan Malaysia selaku pengerusi ASEAN telah menjadi perantara gencatan senjata Julai lalu.
Pada Oktober, Trump menyokong deklarasi bersama antara Thailand dan Kemboja bagi melanjutkan gencatan senjata, tetapi Thailand menggantung perjanjian itu pada November selepas beberapa askarnya cedera akibat terkena periuk api di sempadan.
Sementara itu, Trump berkata beliau mungkin perlu membuat beberapa panggilan telefon tambahan bagi memastikan hubungan kedua-dua negara kembali ke landasan tepat sekali gus keamanan dapat dipulihkan.
Konflik kedua-dua negara itu berpunca daripada isu persempadanan era penjajahan di sempadan sepanjang 800 kilometer (500 batu) antara kedua-dua negara menyaksikan kedua-dua pihak menuntut beberapa kuil bersejarah. – AFP

