Gempa Jepun: Puluhan cedera, bangunan & jalan rosak

TOHOKU, 9 Disember -Gempa bumi kuat di timur laut Jepun menyebabkan 30 orang cedera selain mengakibatkan kerosakan jalan raya dan bangunan.

Sebuah laluan utama di Tokoku turut mendap sehingga sebuah kereta tersangkut di dalamnya.

Serpihan daripada bangunan juga menimpa kenderaan akibat gegaran yang kuat.

Pekerja pengurusan bencana dikerahkan bagi mengawal kawasan terjejas dan menilai kerosakan.

Perkhidmatan kereta api di wilayah utara turut digantung atau mengalami kelewatan susulan pemeriksaan keselamatan.

Sebelum ini, Jepun menarik balik amaran tsunami selepas lebih 90,000 penduduk dipindahkan susulan gempa bermagnitud 7.5 yang melanda lewat malam Isnin.

Amaran itu dikeluarkan kerana bimbang berlaku tsunami setinggi tiga meter, namun ombak sebenar yang direkodkan hanya antara 20 hingga 70 sentimeter di beberapa pelabuhan.

Pusat gempa terletak 80 kilometer dari pesisir Aomori pada kedalaman 54 kilometer.

Gegaran itu mencatat intensiti “upper 6” pada skala seismik Jepun, tahap yang biasanya menyebabkan orang ramai sukar berdiri atau berjalan.

Pihak berkuasa turut mengingatkan penduduk supaya berjaga-jaga terhadap kemungkinan gempa susulan kuat dalam tempoh seminggu. -REUTERS