LONDON, 9 Disember – Dua lagi individu ditahan polis United Kingdom berhubung cubaan untuk merompak menggunakan semburan lada di kawasan parkir kereta bertingkat Terminal 3 Lapangan Terbang Heathrow pada pagi Ahad.
Polis Metropolitan London mengesahkan, dua lagi suspek telah ditahan pada Isnin.
Seorang daripadanya, lelaki berusia 24 tahun ditahan kerana disyaki melakukan rompakan dan serangan, manakala seorang lagi suspek merupakan wanita berusia 23 tahun yang disyaki terlibat dalam konspirasi untuk melakukan rompakan.
Mangsa yang merupakan dua orang wanita mendakwa bagasi mereka dirampas sebaik keluar daripada lif, sebelum mereka disembur dengan bahan toksik dipercayai lada.
Sekurang-kurangnya 21 orang, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun memerlukan rawatan perubatan susulan kejadian itu dengan lima orang dibawa ke hospital.
Sebelum ini, polis telah menahan seorang lelaki berusia 31 tahun berhampiran lokasi kejadian pada Ahad, namun dibebaskan sementara menunggu siasatan lanjut.
Insiden itu menyebabkan gangguan teruk terhadap aliran trafik dan pengangkutan awam di kawasan berkenaan, sehingga ada penumpang mengadu terlepas penerbangan. -AFP

