HAVANA, 5 Disember – Cuba menegaskan negara itu tidak menjadi ‘lubang hitam’ laluan penyeludupan dadah ke Amerika Syarikat (AS) dan terus aktif memberikan maklumat perisikan kepada Pengawal Pantai AS bagi memerangi kegiatan haram itu di Caribbean.
Ketua Pengawal Sempadan Cuba, Kolonel Ybey Carballo berkata walaupun hubungan rasmi antara Cuba dan AS terhenti di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump, negara itu tetap memberikan maklumat lokasi, laluan dan ciri bot yang disyaki menyeludup dadah.
“Pendekatan proaktif Cuba menyumbang kepada keselamatan rantau ini dan terutamanya keselamatan AS, kerana bot-bot tersebut sering menuju ke sana,” kata Carballo.
Sejak 1990 hingga 30 November 2025, Cuba dilaporkan telah memberikan lebih 1,500 maklumat perisikan berkaitan penyeludup dadah kepada AS.
Cuba terletak di laluan utama antara pengeluar dadah Amerika Selatan dan pasaran AS, namun Jabatan Negara AS pada 2016 menegaskan pulau itu bukan pengeluar, pengguna atau titik transit utama dadah haram.
Carballo turut menegaskan pasukan keselamatan Cuba tidak melihat peningkatan ketara aktiviti penyeludupan dadah walaupun terdapat peningkatan kehadiran tentera AS dan serangan misil terhadap bot penyeludup di Caribbean dan Pasifik. -REUTERS

