SAN JOSE, 29 November – Pihak berkuasa Costa Rica dengan kerjasama Pengawal Pantai Amerika Syarikat (US Coast Guard) merampas kira-kira 4.4 tan kokain daripada sebuah vesel yang dipintas di Lautan Pasifik.
Menteri Keselamatan, Mario Zamora, berkata dua warga Colombia ditahan dalam operasi sekitar 273 kilometer dari Golfito, Puntarenas.
“Mereka bakal berdepan pertuduhan pengedaran dadah antarabangsa yang membawa hukuman sehingga 20 tahun penjara,” katanya.
Zamora turut mendedahkan penghantaran dadah berkenaan mempunyai kaitan dengan Kartel Teluk Uraba, manakala kru vesel dipercayai melibatkan bekas anggota FARC.
Presiden Rodrigo Chaves pula menyifatkan kerjasama dengan Washington sebagai langkah penting dalam memastikan Costa Rica tidak lagi menjadi laluan transit utama penyeludupan dadah ke Amerika Utara.
Dadah yang dirampas dipamerkan di Lapangan Terbang Juan Santamaria, berhampiran San Jose, sementara operasi tersebut turut melibatkan Polis Kawalan Dadah Costa Rica dan Agensi Penguatkuasaan Dadah Amerika Syarikat (DEA). – REUTERS

