BEIJING, 9 Disember -China menyatakan bahawa kesan tarif yang dikenakan pelbagai negara pada tahun ini sudah memberi tekanan nyata kepada ekonomi dunia.
Perdana Menteri China, Li Qiang, membuat kenyataan itu dalam Dialog 1+10 yang turut menghimpunkan ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Bank Dunia.
Li berkata, peningkatan tarif dan sekatan perdagangan sejak awal tahun telah menjejaskan aliran perdagangan global.
“Langkah-langkah ini menimbulkan kesan merugikan kepada semua pihak, sementara banyak negara menuntut supaya perdagangan bebas terus dipertahankan,” katanya.
Beliau tidak menamakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, namun menyatakan perlunya usaha mengukuhkan tadbir urus ekonomi global bagi menangani halangan perdagangan yang semakin meluas.
Data rasmi menunjukkan lebihan dagangan China melepasi AS$1 trilion pada November buat pertama kali, keadaan yang dikaitkan penganalisis dengan tarif AS yang mengubah destinasi eksport China.
Perkembangan itu memberi tekanan kepada industri pembuatan di beberapa negara yang menjadi penerima limpahan perdagangan tersebut.
Li turut menekankan peranan kecerdasan buatan dalam perdagangan dunia.
Beliau menyebut, model seperti DeepSeek sebagai pemacu perubahan industri dan pertumbuhan sektor baharu termasuk robot pintar dan peranti boleh pakai. -REUTERS

