Chile lancar siasatan lima pelancong maut dalam ribut salji di taman negara

PUERTO NATALES, 21 November – Perbadanan Perhutanan Kebangsaan Chile (Conaf) telah membuka siasatan dalaman bagi menentukan punca yang menyebabkan kematian lima pelancong dalam ribut sajli di Taman Negara Torres del Paine.

Mangsa yang terdiri daripada masing-masing dua warganegara Jerman dan Mexico serta seorang warganegara Britain hilang berhampiran kem Los Perros semasa ribut salji yang membawa salji tebal dan angin kencang dengan kelajuan melebihi 193 kilometer sejam, bersamaan dengan taufan Kategori 3.

Agensi yang menguruskan taman tersebut memaklumkan ia akan meneliti bagaimana protokol diaktifkan, komunikasi dikendalikan serta prosedur operasi mencari, menyelamat dan pemindahan dijalankan.

Pengarah Conaf bagi Wilayah Magallanes, Mauricio Ruiz, mengakui bahawa tiada kakitangan ditempatkan di laluan Los Perros pada hari kejadian kerana para petugas berada di pusat pengundian untuk menunaikan tanggungjawab mengundi dalam pilihan raya presiden.

Peguam Daerah Magallanes, Cristian Crisosto pula memaklumkan, penyiasat akan mengambil keterangan daripada semua pendaki dalam kumpulan tersebut, kakitangan Conaf dan pekerja daripada syarikat pelancongan Vertice untuk melengkapkan siasatan.

Taman Negara Torres del Paine, salah satu destinasi pelancongan paling ikonik di Chile yang terkenal dengan puncak gunung yang indah dan hutan subkutubnya, meliputi keluasan kira-kira 1,810 kilometer persegi serta menarik ratusan ribu pelawat setiap tahun. – REUTERS